Ahad, 30 Oktober 2022

CARA BERSYUKUR SEBENAR

 السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته .. بسم الله الرحمن الرحيم .. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى اله وازواجه وذريته واهل بيته واصحابه وعلينا اجمعين.. اللهم أنزل الرحمة والمغفرة والسلامة على أبوى واله وخلفاءه وازواجه واولاده ومن نصره إلى يوم الدين ....أمين يا رب العا لمين 🤲🏻



CARA BERSYUKUR SEBENAR


Nikmat yang diberi oleh Allah Taala kepada kita terlalu banyaknya.


Berbagai-bagai macam dan jenis, di dalam diri kita seluruhnya adalah nikmat dari-Nya.


Di luar diri kita bermacam-macam dan berbagai-bagai pula.


Rumah, isteri, anak-anak, harta, kereta, makan minum, pakaian dan lain-lainnya.


Balaslah nikmat Tuhan itu tanda bersyukur kepada-Nya dengan nikmat-Nya juga.


Seperti kita sembah, besarkan, cinta dan takut kepada-Nya.


Gunakan lidah kita menyebut, mensucikan, memuji dan memohon keampunan kepada-Nya.


Tenaga kita gunakan untuk perjuangan menegakkan agama-Nya.


Nikmat di luar diri seperti harta, gunakan untuk menolong manusia yang miskin, papa.


Digunakan juga untuk fisabilillah yang diperintahkan kepada kita.


Kereta kita jadikan alat untuk khidmat kepada agama dan manusia.


Rumah kita untuk menyambut tetamu dan pertemuan silaturrahim sesama hamba-hamba-Nya.


Tanah untuk diwakafkan, ditegakkan bangunan pendidikan dan bangunan rumah tetamu.


Bangunan-bangunan dan gedung-gedung perniagaan demi kemajuan umat Islam patut dibina.


Begitulah caranya kita bersyukur kepada Tuhan di atas nikmat-nikmat-Nya.


Menggunakan nikmat-nikmat-Nya untuk keredhaan-Nya.


Ertinya nikmat Tuhan itu juga, tidak kira nikmat yang mana dikorbankan pada jalan-Nya.


Korbankan nikmat Tuhan kerana nikmat-Nya yang diberikan kepada kita.


Begitulah caranya kita bersyukur kepada Tuhan di atas segala nikmat, rahmat dan anugerah-Nya.


Nikmat dari Tuhan, nikmat itu jugalah kita gunakan untuk Tuhan.


Jangan gunakan nikmat Tuhan bertentangan dengan kehendak Tuhan.

Tidak takutkah kepada Tuhan?


Jika Tuhan murka Dia boleh rentap bila-bila masa.

Bila-bila masa sahaja kita boleh terhukum dan terhina.


Berhati-hatilah menggunakan nikmat Tuhan agar kita tidak kufur nikmat. 


 

H.A.B.I.M

Sabtu, 22 Oktober 2022

Miliki Sifat Jujur Bukan Pendusta

 Miliki Sifat Jujur Bukan Pendusta

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Daripada Abdullah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: 

"Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantar kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta." 

(HR Bukhari No: 5629) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut memiliki sifat jujur dalam setiap perbuatan dan pekerjaan.

2.  Sifat jujur yang dimiliki akan sentiasa membimbing seseorang untuk melakukan kebaikan dan amal soleh menuju ke syurga.

3.  Sifat kejujuran yang berterusan akan menjadi tabiat kebiasaan yang akhirnya membentuk akhlak kepada seseorang.

4.  Sifat dusta dan berbohong yang dimiliki oleh seseorang akan mendorong kepada kejahatan.

5.  Sifat dusta dan bohong yang menjadi kebiasaan secara berterusan kepada seseorang, akhirnya akan membentuk tabiat dan akhlak yang buruk.

6.  Sifat dusta akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang ke neraka. Allah tidak memberi hidayah kepada pendusta dan pembohong. Firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta (Mukmin: 28).

Semoga bermanfaat 💐

Sabtu, 8 Oktober 2022

RASULULLAH SAW CONTOH AKHLAK TERBAIK

حَدَّثَنِي أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْجَدَلِيُّ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ كَيْفَ كَانَ خُلُقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَهْلِهِ قَالَتْ كَانَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا لَمْ يَكُنْ فَاحِشًا وَلَا مُتَفَحِّشًا وَلَا سَخَّابًا بِالْأَسْوَاقِ وَلَا يُجْزِئُ بِالسَّيِّئَةِ مِثْلَهَا وَلَكِنْ يَعْفُو وَيَصْفَحُ


Telah menceritakan kepadaku Abu Abdullah Al Jadali dia berkata; 

Saya bertanya kepada Aisyah; 

"Bagaimanakah akhlak Rasulullah SAW terhadap keluarganya." 

Aisyah berkata; 

"Baginda adalah orang yang paling baik akhlaknya, tidak pernah berbuat keji, tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor, tidak berteriak-teriak di pasar, dan tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya), akan tetapi baginda seorang yang pemaaf dan pengampun." 

(HR Ahmad No: 24797) 

Status: Hadis Hasan


Pengajaran:


1.  Rasulullah SAW adalah orang yang paling baik akhlak terhadap keluarga dan orang lain. 


2.  Rasulullah SAW tidak pernah melakukan perbuatan keji seperti perbuatan syirik.


3.  Rasulullah SAW tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor serta tidak terjerit-jerit di pasar (shoping kompleks).


4.  Antara akhlak terpuji Rasulullah SAW ialah tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya).


5.  Rasulullah SAW adalah seorang yang pemaaf kepada orang lain.


09hb Okt  2022

12hb Rabiul Awal 1444H