Rabu, 30 November 2022

Bala Yang Disedari Dan Yang Tidak Disedari

 Bala Yang Disedari Dan Yang Tidak Disedari


Seorang pelajar bertanya kepada gurunya: mengapakah apabila kita banyak melakukan maksiat terhadap Allah, tetapi Allah tidak menimpakan balanya ke atas kita dengan segera?"

Gurunya menjawab "Allah telah menimpakan balanya, tetapi engkau yang tidak menyedarinya!". Bukankah Allah telah mencabut perasaan indah bermunajat denganNya dari hatimu...!! Tiada bala yang lebih berat ditimpakan ke atas seseorang dengan penyakit "hati yang keras".

Sesungguhnya seberat-berat bala yang akan ditimpakan ke atasmu ialah Allah akan menyempitkan laluanmu ke arah jalan kebaikan.

Bukankah telah berlaku ke atas dirimu engkau tidak membaca Quran selama beberapa hari?

Bahkan mungkin engkau mendengar firmanNya yang berbunyi

لَو أَنزَلنا هٰذَا القُرءآنَ عَلىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيتَهُ خٰشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّن خَشيَةِ اللهِ ۚ

"Jika Kami turunkan Al-Quran ini ke atas gunung nescaya engkau akan melihatnya khusyuk dan hancur lebur (gunung) kerana takutkan Allah" (Al-Hasyr : 21),

Engkau mendengar ayat ini tetapi engkau tidak merasa apa-apa...!!!

Bukankah berlalu beberapa malam tetapi engkau terhalang daripada bangun berqiyamullail?

Bukankah berlalu peluang-peluang kebaikan seperti: Ramadhan, Enam Syawwal, Sepuluh Zulhijjah. Sedangkan engkau tidak dipermudahkan untuk mengambil peluang-peluang tersebut dengan sewajarnya.....

Adakah bala yang lebih berat dan segera dari semua ini?

Bukankah engkau merasa berat apabila mahu melakukan ketaatan?

Bukankah lidahmu ditahan daripada mengingatiNya?

Bukankah engkau merasa lemah apabila berhadapan dengan bisikan hawa nafsu dan syahwat?

Bukankah engkau telah ditimpakan dengan cintakan harta, pangkat dan perasaan ingin popular?

Adakah bala yang lebih berat dan segera daripada ini semua?

Bukankah dipermudahkan bagimu untuk mengumpat, mengadu domba dan berkata dusta?!

Bukankah engkau disibukkan dengan perkara-perkara yang sia-sia tiada kaitan dengan dirimu?!

Bukankah engkau telah dilupakan tentang akhirat dan segala tumpuanmu dihalakan kepada hal keduniaan?

Semua kehinaan ini tidak lain dan tidak bukan adalah bentuk-bentuk bala yang Allah timpakan ke atas dirimu.

Berhati-hatilah wahai anakku, kerana bala yang paling ringan yang Allah timpakan ialah bala yang boleh disedari seperti bala yang ditimpakan ke atas harta, anak pinak dan kesihatan. Sesungguhnya seberat-berat bala yang ditimpakan ke atas hamba adalah bala yang tidak disedari iaitu "bala di dalam HATI".

Mohonlah keampunan dan kesejahteraan dari Allah dan beristighfarlah atas dosa-dosamu.

Semoga bermanfaat 💐

Isnin, 28 November 2022

Jadilah Orang Yang Diredai Allah Bukan Dibenci

Jadilah Orang Yang Diredai Allah Bukan Dibenci

 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلَاثًا وَيَسْخَطُ لَكُمْ ثَلَاثًا يَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَأَنْ تُنَاصِحُوا مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ أَمْرَكُمْ وَيَسْخَطُ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ

Dari Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah meredai kalian dalam tiga perkara dan benci kepada kalian dalam tiga perkara. Allah meredai kalian jika kalian beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, jika kalian berpegang teguh kepada agamanya  dan tidak berpecah belah dan, jika kalian saling nasihat menasihati  kepada orang yang diserahkan kepadanya urusanmu.  Dan Allah membenci kalian dari sikap percaya kepada khabar yang tidak tentu sumbernya, banyak bertanya (tentang perkara yang tidak perlu) dan memboroskan harta". (HR Ahmad No: 8444) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah meredai seseorang apabila ia melakukan tiga perkara:

a.  Beribadah kepada  Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu

b.  Berpegang teguh kepada agama-Nya  dan tidak berpecah belah

c.  Saling nasihat menasihati  dalam melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah.

2.  Allah membenci seseorang apabila ia memiliki tiga perkara:

a.  Percaya kepada khabar, maklumat atau info yang tidak tentu sumbernya sama ada dalam bentuk pertuturan mahupun tulisan.

b.  Banyak bertanya (tentang perkara yang tidak perlu) sehingga menyusahkan orang lain untuk beramal

c.  Membazir atau boros dalam membelanjakan harta

Berusahalah menjadi hamba yang diredai bukan dibenci.


TIGA JENIS HATI

TIGA JENIS HATI


Imam Al-Ghazali rah. Membahagikan Hati Kepada 3 Jenis :


1. Hati Sihat Dan Bercahaya, (Iaitu Hatinya Orang² Yang Beriman, Ikhlas Dan Penuh Cinta)


2. Sakit Hati (Iaitu Hati Orang² Yang Jahat, Dendam, Su'udzon, Marah, Suka Menghasut, Suka Mengadu Domba)


3. Hati Mati (Iaitu Hati Orang Yang engkar Dan Derhaka Kepada Allah, Rasulullah, Kedua-dua Orang Tua, Kepada Ulama' Dan Guru).


✿ PENYEBAB HATI YANG MATI


Imam Al-Ghazali Berkata Penyebab Hati Menjadi Mati. 


1. Ingkar Kepada Allah, Rasulullah, Dan Para Ulama.

2. Prasangka Buruk

3. Mengadu Domba

4. Memfitnah

5. Malas BerIbadah

6. Makan Makanan Yang Haram

7. Terlalu Cinta Dunia

8. Tidak Ikhlas

9. Marah Dan Dendam

10. Kurang Bersyukur


✿ TANDA-TANDA HATI YANG KOTOR


1. Gelisah Walaupun Tidak Ada Masalah

2. Bangga Terhadap Diri Sendiri

3. Sombong Memandang Hina Orang Lain

4. Sombong Dan Bongkak

5. Mencari Aib Orang Dan Menyebarkannya

6. Suka Mengumpat

7. Gembira Dengan Penderitaan Orang Lain

8. Tidak Menjaga Lisan

9. Bersangka ² Dengan Orang Lain

10. Bersikap Alim Untuk Di Puji

11. Menyampaikan Ilmu Dengan Riya'

12. Menganggap Diri Lebih Hebat Daripada Orang Lain

13. Berpakaian Indah Untuk Dipuji

14. Derhaka Pada Orang Tua

15. Bermasam Muka

16. Tergesa-gesa 

17. Solat Yang Tidak Khusyuk

18. Kagum Terhadap Diri Sendiri

19. Selalu Mencari Salah Orang

20. Cinta Kepada Duniawi Dan Materialistik

21. Mudah Bersangka Buruk Terhadap Orang

22. Membesarkan Hal Yang Remeh Temeh

23. Suka Bergosip Dan Menabur Fitnah


Kuman Di Seberang Laut Nampak, Gajah Di Depan Mata Tak Nampak.

Setitik Aib Orang Lain Terus Nampak, Segudang Aib Sendiri Susah Ditemukan.


"Yaa Allah, Terangkanlah Hati² Kami Menuju Ke Jalan HidayahMu Dan terimalah Penghambaan Kami Kepada-Mu.. 

Jadikanlah Hari Ini Lebih Dari Kelmarin Dan Jadikanlah Hari Esok Lebih Dari Hari Ini...

آمين يارب العالمين...

Ringankan Tangan Untuk Berinfaq. TANDA HATI MURNI(KLIK DI SINI)

Jumaat, 25 November 2022

Jadilah Pengasih Untuk Dirahmati Allah

Jadilah  Pengasih Untuk Dirahmati Allah



سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ

Daripada Saad bin Ubadah RA, Rasulullah SAW bersabda: 
"Sesungguhnya Allah hanya merahmati hamba-hambaNya yang pengasih" 

(Sahih Bukhari No: 1284). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sifat penyayang dan pengasih adalah dituntut pada setiap Muslim

2.  Allah hanya merahmati Muslim yang memiliki sifat kasih sayang kepada sesama manusia dan makhluk lain untuk diberi ganjaran syurga.

3.  Milikilah sifat kasih sayang terhadap orang lain. Antaranya  ialah sifat  membantu kepada yang memerlukan pertolongan,  sama ada dengan wang ringgit, tenaga mahupun pandangan dan motivasi kepada mereka.

4.  Kasihilah orang lain dengan mendoakan kebaikan, memaafkan mereka, menolong dan membantu mereka, memberi makan orang yang kelaparan serta mengunjungi orang sakit dan yang ditimpa musibah.

5.  Jika kita benci pada perbuatan buruk seseorang, jangan sampai kita tidak berlaku adil dengan menzalimi mereka. Lakukanlah dengan cara yang dibenarkan syarak bukan dengan cara memaki hamun dilaman sosial.

Jika kita ingin dirahmati Allah, maka milikilah sifat pengasih terhadap orang lain. Islam agama yang mulia dan berakhlak.

Semoga bermanfaat 💐