Jumaat, 28 April 2023

Jadilah Pengasih Untuk Dirahmati Allah

 Jadilah  Pengasih Untuk Dirahmati Allah

 
سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ

Daripada Saad bin Ubadah RA, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah hanya merahmati hamba-hambaNya yang pengasih"
(Sahih Bukhari No: 1284). 
Status: Hadis Sahih

JANGAN KLIK GAMBAR

Pengajaran:

1.  Sifat penyayang dan pengasih adalah dituntut pada setiap Muslim

2.  Allah hanya merahmati Muslim yang memiliki sifat kasih sayang kepada sesama manusia dan makhluk lain untuk diberi ganjaran syurga.

3.  Milikilah sifat kasih sayang terhadap orang lain. Antaranya  ialah sifat saling hormat menghormati, saling bermaafan serta sifat  membantu mereka yang sedang menghadapi musibah,  sama ada dengan wang ringgit, tenaga mahupun pandangan dan nasihat.

4.  Di musim lebaran ini, suburkanlah sifat mengasihi orang lain dengan mendoakan kebaikan, membantu mereka yang sedang kesempitan, memberi makan orang yang kelaparan serta mengunjungi orang sakit dan yang ditimpa musibah.

5.  Jika kita benci atau tidak suka kepada kejahatan seseorang, lakukan dengan cara yang dibenarkan syarak bukan dengan cara memaki hamun dilaman sosial.

Jika kita ingin dirahmati Allah, maka milikilah sifat pengasih terhadap orang lain. Islam agama yang mulia dan berakhlak.

Semoga bermanfaat 💐

Khamis, 27 April 2023

Jangan Menangguh Untuk Bersedekah.

 Jangan Menangguh Untuk Bersedekah.


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلاَنٍ كَذَا وَلِفُلاَنٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلاَنِِ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata: 

"Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan bertanya; 

“Wahai Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”. Baginda menjawab: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan ketika itu kamu berasa kedekut (kikir) dan  takut menjadi miskin dan berangan-angan untuk menjadi orang kaya. Oleh itu, janganlah kamu menunda-nunda untuk bersedekah sehingga ruh sampai di kerongkongmu, maka, kamu baru berkata, "Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan, padahal harta itu sudah menjadi milik si fulan." 

(HR Bukhari no: 2748) Status: Hadis Sahih



Pengajaran:

1.  Sedekah yang paling besar pahalanya ialah ketika kita sihat dan berasa sayang dengan harta tersebut malah kita bimbang harta akan berkurang apabila bersedekah dan kita pula berhasrat dengan mengumpul harta itu akan menjadi kaya.

2.  Bersedekah jangan ditunda kerana bimbang kematian menjemput kita

3.  Segera bersedekah, jangan tunggu nyawa sampai dihalkum. Bila kita mati, harta yang ditinggalkan akan menjadi harta waris untuk difaraidkan, bukan milik kita. Bila ia menjadi hak orang lain, ia tidak mendatangkan manfaat kepada si mati.

Semoga bermanfaat 💐

Rabu, 26 April 2023

Ucapan Salam Dan Bersalaman Menggugurkan Dosa

Ucapan Salam Dan Bersalaman Menggugurkan Dosa


عن حذيفة بن اليمان ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال إِنَّ المُؤْمِنَ إِذَا لَقِيَ الْمُؤْمِنَ فَسَلَّمَ عَلَيهِ وَأَخَذَ بِيَدِهِ فَصَافَحَهُ تَنَاثَرَتْ خَطَايَاهُمَا كَمَا يَتَنَاثَرُ وَرَقُ الشَّجَرِ

Daripada Huzaifah al-Yaman RA daripada Nabi SAW baginda bersabda: “Jika seorang mukmin bertemu dengan mukmin lainnya lalu mengucapkan salam kepadanya dan mengambil tangannya lalu menjabatnya, maka berguguranlah dosa-dosa mereka seperti gugurnya daun-daun dari pepohon”  (Mu’jam Awsat li Tabarani No: 247) Maktabah Maarif.  Status: Al-Munziri kata tiada perawi dalam jalur sanad ini yang dikritik.

Pengajaran:

1.  Satu daripada adab yang perlu dilaksanakan apabila bertemu sesama Muslim ialah mengucapkan salam.

2.  Ucapan salam juga tanda kecintaan kepada sesama Muslim. Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

“Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku beritahu dengan sesuatu yang apabila kalian lakukan kalian akan saling mencintai? (iaitu) sebarkanlan (ucapkanlah) salam diantara kalian.” (Sahih Muslim No: 54) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

3.  Berjabat tangan adalah ibadah yang disyariatkan ketika bertemu dan berpisah

4.  Berjabat tangan juga menjadi sunnah para sahabat, sebagaimana digambarkan dalam riwayat berikut :

عَنْ قَتَادَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ قُلْتُ لِأَنَسٍ أَكَانَتْ الْمُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ

Daripada Qatadah ra, aku berkata kepada Anas bin Malik, “Apakah berjabat tangan selalu dilakukan oleh para Sahabat Rasulullah SAW?” Anas menjawab, “Ya”. (Sahih Bukhari No: 5908) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

5.  Ibn Hajar mengatakan, “berjabat tangan adalah melekatkan telapak tangan pada telapak tangan yang lain.” (Fathul Bari, 11/54). Menurut Imam An Nawawi dalam al-Adzkar - ditahan beberapa saat, selama tempoh waktu yang cukup untuk menyampaikan salam.”

6.  Muslim yang berjabat tangan apabila bertemu akan menggugurkan dosa-dosanya seperti dedaun

Cari masa untuk saling kunjung-mengunjung, ambil kesempatan mengucapkan salam dan bersalaman sesama jantina yang dibenarkan syarak.

Semoga bermanfaat 💐

Selasa, 18 April 2023

Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan

Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: 
“Rugi (celaka) orang yang disebutkan namaku (nama Rasulullah SAW) di hadapannya, tetapi ia tidak mahu berselawat kepadaku. Rugi (celaka) orang yang masuk Ramadan, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni. Rugi (celaka) seorang yang mendapatkan kedua orang tuanya di waktu tua (lanjut usia), tetapi keduanya tidak dapat menyebabkannya masuk Syurga.” 
(Sunan Tirmizi No: 3545) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih.



Pengajaran:

1.  Satu daripada adab kita terhadap Rasulullah SAW ialah apabila nama baginda disebut, kita hendaklah menyahutnya dengan berselawat ke atas junjungan baginda SAW. Antaranya dengan lafaz

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Rugi mereka yang tidak menyahut dan berselawat ke atas Nabi SAW.

Sabda Nabi SAW:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

“Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. No: 3469]. Status: Hadis Sahih
 
2.  Ramadan adalah bulan anugerah Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW untuk melaksanakan ibadat puasa di siang hari dan menghidupkan malam hari dengan pelbagai ibadat di malam hari.

3.  Alangkah ruginya kita jika tidak berusaha bersungguh-sungguh menjadikan ibadat puasa, ibadat di malam hari bermula daripada berbuka puasa, solat maghrib, solat isya, solat tarawih, solat tahajud, solat witir, solat sunat yang lain, tilawah, bersahur dan berdoa diwaktu sahur, bersedekah sebagai instrumen pengampunan dosa-dosa yang lalu.

4.  Memuliakan kedua orang tua bererti memuliakan Allah, kerana itu Allah menghubungkan berbuat baik kepada keduanya dengan bertauhid kepada Allah di dalam firman-Nya [Al-Israa': 23]:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

“Dan Rabb-mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkan-lah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Rugi mereka yang masih ada orang tua tidak berbuat baik kepada keduanya, tidak menunaikan tanggungjawab sebagai anak, menyayangi dan membantu segala keperluan mereka. Santunilah keduanya dengan sebaik mungkin.

5.  Marilah kita muhasabah apakah ibadat puasa kita serta menghidupkan ibadat malam hari yang dilakukan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu.

Jika ada dosa kita sepanjang ramadan berbentuk fitnah, umpatan dan sebagainya yang berkaitan dengan orang lain,  mohonlah kemaafan. Moga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang celaka.

6.  Semoga Ramadan yang kita lalui benar-benar menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan kita kembali kepada fitrah bersih dari dosa.

Semoga bermanfaat💐

Sabtu, 15 April 2023

Melipat Gandakan Amal Di Sepuluh Akhir Ramadan

Melipat Gandakan Amal Di Sepuluh Akhir Ramadan


قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Aisyah Radhiyallahu anha, berkata:

“Rasulullah SAW lebih giat (dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir (Ramadan) yang tidak baginda lakukan pada hari-hari lainnya.”

(Sahih Muslim No: 2009) Dar Ihya Kutub Arabiyyah.  Status: Hadis Sahih



Pengajaran:

1.  Rasulullah mempergiatkan amal ibadah pada 10 terakhir daripada bulan Ramadan melebihi daripada waktu lain.

2.  Antara ibadat yang boleh dilakukan pada 10 terakhir Ramadan ialah iktikaf di masjid, perbanyakkan ibadat khusus seperti membaca al-Quran, sedekah, berzikir, solat sunat seperti solat duha, solat tahajud, solat tasbih dan lain-lain.

a.  Dikatakan Saidina Umar sibuk menunaikan solat sepanjang malam hingga fajar.
b.  Qatadah pernah mengkhatam seluruh al-Quran setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan

3.  Ada orang yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menumpukan ibadat sepanjang 10 hari terkahir Ramadan.  Anda bagaimana?

4.  Imām Ibn Rajab Al-Hanbali berkata : Ketahuilah bahawa seorang mukmin itu terhimpun baginya dua jihad untuk dirinya. (Iaitu) jihad pada waktu siang dalam berpuasa serta jihad pada waktu malam dalam melakukan qiamullail. Sesiapa yang menghimpunkan antara dua jihad ini dan melunaskan hak keduanya serta bersabar dalam melakukannya, dia telah memperoleh ganjaran pahala yang tidak terhitung. Rujuk Lathā’if Al-Ma’ārif, Ibn Rajab (1/171)

5.  Mari kita lipat gandakan amalan di sepuluh hari terakhir daripada Ramadan ini.

a.  Menjaga solat terawih dan pergi awal ke masjid, bersungguh untuk berada di saf paling hadapan dan tidak beredar sehinggalah imam meninggalkan tempatnya.

b.  Banyakkan Iktikaf. Usahakan pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan dengan mengajak ahli keluarga, jiran dan kenalan ke Masjid sekurang-kurangnya bermula waktu magrib sehingga tamat solat tarawikh.

c.  Perbanyakkan doa. "Sesungguhnya doa di waktu sahur adalah anak panah qadar".  Doa untuk diri dan keluarga, doa untuk dakwah ini,  doa untuk kesejahteraan umat Islam di Malaysia. Juga doa kesejahteraan umat Islam di Palestin, Syria, Iraq, Rohinga dan di seluruh dunia. Semoga Allah mengembalikan hak mereka dan melegakan musibah mereka

Semoga bermanfaat 💐.

Rabu, 12 April 2023

Tiada Guna Penyesalan Di Hari Akhirat

 Tiada Guna Penyesalan Di Hari Akhirat



Firman Allah

وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَا أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا غَيْرَ الَّذِي كُنَّا نَعْمَلُ ۚ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيرُ ۖ فَذُوقُوا فَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ نَصِيرٍ

Dan mereka berB40teriak di dalam neraka itu: "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami niscaya kami akan mengerjakan amal yang saleh berlainan dengan yang telah kami kerjakan". Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mau berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun.(Fathir : 37)

Pengajaran

1. Orang kafir dan ahli maksiat  akan  berteriak dalam neraka meminta pertolongan dengan suara yang tinggi. Apakah yang mereka minta? Mereka minta dikeluarkan agar diberi peluang untuk mengerjakan amal soleh jika dikembalikan ke dunia.

2.  Allah SWT menempelak golongan ini dengan mengatakan bahawa Allah telah memberi umur yang cukup di dunia untuk melakukan amal soleh, tetapi sifat manusia yang tidak mengendahkan peringatan yang diberikan.

3. Dalam Tafsir al-Wahidi dikatakan bahwa nazir (pemberi peringatan) dalam ayat ini bererti Rasulullah yang membawa Al-Qur’an, boleh pula dertikan sebagai umur tua dan kematian. Memang umur dan kematian tersebut adalah peringatan penting bagi manusia bahwa sebentar lagi dia akan meninggalkan dunia yang fana ini, dan diwajibkan mempertanggungjawabkan perbuatannya.

4.  Jangan disia-siakan segala kesempatan yang diberi kepada kita ketika hidup di dunia. Rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara agar tiada penyesalan di akhirat.

Dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

اِغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَ صِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَ غِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَ فَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَ حَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

Maksudnya: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan Masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

5. Pada bulan Ramadan ini Allah menjanjikan pahala berganda sekiranya kita beribadah  dan melakukan amal soleh. Ambil peluang meningkatkan amalan agar beroleh keampunan dan mencapai taqwa.

Semoga bermanfaat 💐

Amalan Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadan

 Amalan Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadan

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Daripada Aisyah Radhiyallahuanha, bahawa Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda (tetap) beriktikaf sepeninggalan baginda. (Sahih Bukhari No: 1922) Dar Ibn Kathir.  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Iktikaf ialah tetap tinggal di dalam masjid dengan niat beriktikaf dan bertujuan  beribadat kepada Allah

2.  Mengikut Imam Syafie,  iktikaf  boleh dilakukan sekadar masa lebih sedikit daripada tomakninah dalam solat. Imam Maliki mensyaratkan iktikaf sekurang-kurangnya sehari semalam dan yang paling baik ialah tidak kurang daripada 10 hari

3.  Sunnah iktikaf yang dilakukan Rasulullah SAW ialah sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan. Baginda melaksanakan sejak berpindah ke Madinah sehingga baginda wafat.

4.  Amalan iktikaf sepuluh hari terakhir Ramadan antara sunnah Rasulullah SAW yang dilupakan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Dr Wahbah Zuhaili menyatakan: “Sungguh pelik manusia, bagaimana mereka boleh meninggalkan iktikaf. Rasulullah SAW melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu tetapi baginda tidak meninggalkan  iktikaf sehinggalah baginda wafat”.

5.  Amalan iktikaf  dapat mengembalikan kita untuk mengimarahkan masjid (rumah Allah). Rumah yang menghimpunkan kebaikan untuk dunia dan akhirat.

Mengimarahkan masjid adalah tanda orang beriman. Firman Allah:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.”  (At-Taubat: 18),.

Rebutlah peluang beriktikaf dan menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan.

Semoga bermanfaat 💐

Jumaat, 7 April 2023

Taqwa dan Al-Quran

 Taqwa dan Al-Quran


عَن أبِى ذَرٍّ قَالَ قُلْتُ يَارَسُولَ اللهِ أَوصِنِى قَالَ عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ فَإِنَّهُ رَأْسُ الأَمْرِ كُلِّهِ قُلْتُ يَارَسُولَ اللهِ زِدْنِي قَالَ عَلَيْكَ بِتِلاَوَةِ الْقُرْءَانِ فَإِنَّهُ نُورٌلَكَ فِى الأَرْضِ وَذُخْرٌلَكَ فِى السَّمَاءِ

Daripada Abu Dzar bahawa beliau telah meminta Rasulullah SAW memberikannya satu pesanan (yang berpanjangan) Rasulullah bersabda: semaikanlah rasa takut (bertakwa) kepada Allah, sesungguhnya takut kepada Allah itu kepala (sumber) bagi segala amalan kebaikan. Abu Dzar meminta supaya Rasulullah SAW menambah lagi. Sabda Rasulullah SAW: Hendaklah kamu membaca al-Quran kerana ia adalah cahaya bagimu di bumi (dunia) dan bekalan untuk mu di langit (akhirat). (HR Ibn Hibban No: 361). Status: Hasan Lighairihi.


Pengajaran:

1.  Abu Dzar atau nama sebenarnya ialah Jundub bin Junadah adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang sangat zuhud. Beliau antara sahabat yang sering meminta kepada Rasulullah agar diberikan nasihat. Antara pesanan Rasulullah SAW:

a.  Semai sifat taqwa (rasa takut kepada Allah) dalam diri kerana takut kepada Allah itu sumber bagi segala amalan kebaikan.

b.  Bacalah al-Quran kerana al-Quran adalah cahaya untuk kita di dunia dan ia akan menjadi bekalan di akhirat.

2.  Sifat taqwa perlu disuburkan dalam diri setiap orang beriman dengan melaksanakan seluruh kewajipan agama dan bersungguh-sungguh meninggalkan segala larangan syarak.

3.  Sayidina Ali RA berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”

4.  Al-Quran perlu dibaca, difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan harian agar ia menjadi cahaya yang memandu kehidupan kita di dunia dan menjadi pemberi syafaat di akhirat kelak.

5.  Membaca al-Quran akan mendapat ganjaran berganda. Abdullah bin Masud RA meriwayatkan sabda Nabi SAW:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ  وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا  لاَ أَقُولُ الْم حَرْفٌ  وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakana yang  ألم  itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”  (HR Tirmizi No: 2910) Status: Hadis Hasan

Semoga bermanfaat 💐