Melipat Gandakan Amal Di Sepuluh Akhir Ramadan
قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ
Aisyah Radhiyallahu anha, berkata:
“Rasulullah SAW lebih giat (dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir (Ramadan) yang tidak baginda lakukan pada hari-hari lainnya.”
(Sahih Muslim No: 2009) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Rasulullah mempergiatkan amal ibadah pada 10 terakhir daripada bulan Ramadan melebihi daripada waktu lain.
2. Antara ibadat yang boleh dilakukan pada 10 terakhir Ramadan ialah iktikaf di masjid, perbanyakkan ibadat khusus seperti membaca al-Quran, sedekah, berzikir, solat sunat seperti solat duha, solat tahajud, solat tasbih dan lain-lain.
a. Dikatakan Saidina Umar sibuk menunaikan solat sepanjang malam hingga fajar.
b. Qatadah pernah mengkhatam seluruh al-Quran setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan
3. Ada orang yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menumpukan ibadat sepanjang 10 hari terkahir Ramadan. Anda bagaimana?
4. Imām Ibn Rajab Al-Hanbali berkata : Ketahuilah bahawa seorang mukmin itu terhimpun baginya dua jihad untuk dirinya. (Iaitu) jihad pada waktu siang dalam berpuasa serta jihad pada waktu malam dalam melakukan qiamullail. Sesiapa yang menghimpunkan antara dua jihad ini dan melunaskan hak keduanya serta bersabar dalam melakukannya, dia telah memperoleh ganjaran pahala yang tidak terhitung. Rujuk Lathā’if Al-Ma’ārif, Ibn Rajab (1/171)
5. Mari kita lipat gandakan amalan di sepuluh hari terakhir daripada Ramadan ini.
a. Menjaga solat terawih dan pergi awal ke masjid, bersungguh untuk berada di saf paling hadapan dan tidak beredar sehinggalah imam meninggalkan tempatnya.
b. Banyakkan Iktikaf. Usahakan pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan dengan mengajak ahli keluarga, jiran dan kenalan ke Masjid sekurang-kurangnya bermula waktu magrib sehingga tamat solat tarawikh.
c. Perbanyakkan doa. "Sesungguhnya doa di waktu sahur adalah anak panah qadar". Doa untuk diri dan keluarga, doa untuk dakwah ini, doa untuk kesejahteraan umat Islam di Malaysia. Juga doa kesejahteraan umat Islam di Palestin, Syria, Iraq, Rohinga dan di seluruh dunia. Semoga Allah mengembalikan hak mereka dan melegakan musibah mereka
Semoga bermanfaat 💐.