Jumaat, 28 Julai 2023

Rahmat Kepada Semua

 Rahmat Kepada Semua


عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ , أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , يَقُولُ : لن تُؤْمِنوا حتى تَراحموا قالوا يا رسولَ اللهِ كُلُّنا رحيمٌ قال إنه ليس برحمةِ أحدِكم صاحِبَه ولكنَّها رحمةُ الناسِ رحمةُ العامَّةِ

Daripada Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah). Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah secara umum (kepada seluruh makhluk)” (Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 dan dinilai Hasan Lighairihi dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib no. 2253)


Pengajaran:

1.  Islam adalah agama rahmah. Rahmah adalah kata terbitan daripada kata akar ra-hi-ma / yar-ha-mu yang bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam al’Arabiy al-Asasiy, 1989)

2.  Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda keimanan seseorang.

3.  Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga kepada seluruh manusia termasuk juga yang bukan Islam serta makhluk alam yang lain seperti binatang dan tumbuhan.

4.  Umat Islam haruslah memahami bagaimana proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah:
يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.” (al-Hujurat: 13)

5.  Memiliki sifat rahmah kepada manusia secara umum termasuk bukan Islam dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia adalah dituntut. Ia boleh dilakukan dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji. Bersifat rahmah dengan menyayangi orang lain agar mereka juga mendapat hidayah dan taufik menjadi hamba Allah yang diredhai.

6.  Sifat berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang. Naluri kasih sayang selalu ada pada manusia seperti kasih sayang kepada orang tua, kanak-kanak, golongan yang lemah serta sesama manusia.

7.  Suburkanlah sifat rahmah dengan saling sayang menyayangi bukan hanya sesama Muslim malah berlaku rahmah kepada bukan Islam dalam usaha menyebarkan dakwah. Semoga sifat rahmah yang kita tunjukkan akan menjadi penyebab mereka cenderung kepada Islam.

8.  Sifat kasih sayang yang ada pada diri seseorang akan menghindarkannya daripada menganiaya atau menzalimi orang lain.

9.  Allah menyayangi orang yang menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ

“Sesungguhnya Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya)”. (HR At-Thobrani dalam al-Mu’jam al-Kabiir Status Hadis Hasan dalam sahih Al-Jaami’ no 2377)

Semoga Allah membimbing kita 💐

Ahad, 23 Julai 2023

Amalan Ke Syurga Dengan Selamat

 Amalan Ke Syurga Dengan Selamat


عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ سَلَامٍ قَالَ: لَمَّا قَدِمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِيْنَةَ  اِنْجَفَلَ النَّاسُ إِلَيْهِ  وَقِيْلَ : قَدِمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  فَجِئْتُ فِي النَّاسِ لِأَنْظُرَ إِلَيْهِ  فَلَمَّا اسْتَبَنْتُ وَجْهَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَرَفْتُ أَنَّ وَجْهَهُ لَيْسَ بِوَجْهٍ كَذَّابٍ  فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ تَكَلَّمَ بِهِ أَنْ قَالَ: ( يَا أَيُّهَا النَّاسُ  أَفْشُوْا السَّلَامَ  وَأَطْعِمُوْا الطَّعَامَ  وَصِلُوْا الْأَرْحَامَ  وَصَلُّوْا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ  تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ).

Daripada ‘Abdullah bin Salâm, ia berkata: “Ketika Rasûlullâh SAW datang ke Madinah, orang-orang segera pergi menuju kepada baginda (kerana ingin melihatnya). Ada yang mengatakan: Rasûlullâh SAW telah datang, lalu aku mendatanginya ditengah kerumunan orang ramai untuk melihatnya. Ketika aku melihat wajah Rasûlullâh SAW, aku mengetahui bahawa wajahnya bukanlah wajah pembohong. Perkara pertama yang baginda ucapkan adalah: ‘Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, sambungkan silaturrahim, dan solatlah di waktu malam ketika orang lain sedang tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.” (Sunan Tirmidzi no: 2485) Status: Hadis Hasan Sahih


Pengajaran:

1.Islam itu cantik dan indah. Abdullah bin Salam tertarik dan masuk Islam kerana melihat keindahan Islam yang ada pada diri Rasulullah SAW dan apa yang baginda tuturkan.

2.Jadikanlah diri kita sebagai qudwah atau contoh ikutan melalui dakwah bil hal dengan keindahan dan kecantikan Islam pada diri kita.

3.Antara amalan yang menempatkan seseorang kedalam syurga adalah:

a.Menyebarkan salam iaitu selalu mengucapkan salam setiap kali bertemu sesama Muslim. Seorang Muslim yang tidak mahu mengucapkan salam setiap kali bertemu dianggap bakhil. Nabi SAW bersabda :

أَعْجَزُ النَّاسِ مَنْ عَجِزَ فِيْ الدُّعَاءِ وَأَبْخَلُ النَّاسِ مَنْ بَخِلَ بِالسَّلاَمِ.

Selemah-lemah manusia adalah orang yang lemah (malas) berdoa kepada Allâh, dan sebakhil-bakhil manusia adalah orang yang bakhil mengucapkan salam (HR Thabarani dalam Mu’jamul Ausath (no. 5587) dan lainnya. Lihat Silsilah al-Ahâdîts ash-Shahîhah (no. 601). Status: Hadis Hasan

b.Memberi makan kepada orang yang memerlukan seperti tetamu, jiran tetangga atau orang yang memerlukan. Orang yang memberi atau bersedekah, nescaya Allah akan menambahkan rezeki kepadanya. Hadis Nabi SAW menyebutkan:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ …

Sedekah tidak mengurangi harta…  (Sahîh Muslim No. 2588).

أَنْفِقْ أُنْفِقْ عَلَيْكَ

Berinfaqlah! Niscaya Aku akan berinfaq kepadamu.  (Sahîh Bukhâri No: 4684)

c.Menyambung silaturahim dengan semua kerabat sama ada melalui perkataan, perbuatan, dan tingkahlaku.

Al-Arhâm adalah jamak dari rahim. Maksudnya kerabat yang memiliki hubungan kekeluargaan dari ibu atau bapa, seperti datok, nenek, bapa saudara, ibu saudara, sepupu dan lain-lain. Allâh SWT berfirman :

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ

Bertakwalah kepada Allâh yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan [an-Nisâ’/4:1]

Silaturrahim merupakan sebab masuk syurga. Memutuskan silaturrahim menyebabkan laknat dan jauh dari rahmat Allâh Azza wa Jalla .

d.Solat di waktu malam, ketika manusia sedang tidur. Ia mencakupi solat wajib, seperti ‘Isya dan Subuh, juga mencakupi solat sunat malam, kerana malam adalah waktu orang tidur.

Semoga bermanfaat 💐


JANGAN KLIK GAMBAR DI ATAS 

Erti Rehat Yang Hakiki

 Erti Rehat Yang Hakiki


1. Seorang lelaki dari Khurasan datang bertemu al-Imam Ahmad dan bertanyakan kepada beliau tentang erti rehat yang sebenar. Kata beliau:

مَتى يَجِد العَبْد طَعْم الرَّاحَة قَالَ عِنْد أَوّل قَدم يَضَعهَا فِي الْجنَّة

(Wahai Imam Ahmad) Bilakah seorang hamba itu akan merasai nikmat rehat yang hakiki? Jawab al-Imam Ahmad: Apabila dia meletakkan langkah pertamanya di dalam syurga. (Ibn Asakir, Tarikh Dimasyq: 6/13)

2. Kenyataan al-Imam Ahmad menggambarkan kepada kita bagaimana dunia adalah tempat berusaha untuk mencapai keredaan Allah. Kerehatan yang hakiki adalah apabila seorang itu telah mencapai reda Allah. Syurga adalah tempat rehat orang yang beriman.

3. Perhatikan bagaimana jerih dan penat Rasulullah dalam perjuangan Baginda di dunia. Segala lelah ini dihiasi dengan senyuman Baginda yang menenangkan. Baginda yakin bahawa dunia hanyalah sementara dan tempat berusaha.

4. Segala lelah akan hilang apabila dihidangkan dengan hidangan di syurga kelak. Semoga kita semua dikurniakan tempat bersama dengan para Nabi, syuhada dan orang-orang soleh di akhirat kelak atas penat lelah kehidupan di dunia ini untuk mencapai reda Allah.

Semoga Allah membimbing kita

Jumaat, 21 Julai 2023

Balasan Pengumpat dan Pengaib

Balasan Pengumpat dan Pengaib


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " لَمَّا عُرِجَ بِي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ قَالَ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَ النَّاسِ وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ 


Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda : ‘Ketika aku dinaikkan ke langit (pada malam isra dan mikraj), aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka, maka aku berkata : Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab : Merekalah orang-orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan mengaibkan maruah mereka.” (Riwayat Abu Daud No: 4878) Status: Hadis Sahih 



Pengajaran:


1.  Islam adalah agama yang mementingkan akhlak dan adab terpuji


2.  Islam melarang umatnya berakhlak buruk seperti mengumpat serta mengaibkan orang lain.


3.  Rasulullah SAW diperlihatkan pada malam baginda di isra dan dimikrajkan sekumpulan manusia yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka menyiksa diri sendiri dengan mencakar-cakar muka dan dada mereka. Jibril memberitahu mereka berbuat demikian kerana semasa di dunia mereka mengumpat dan mengaibkan orang Islam lain.


4.  Orang yang gemar membicarakan aib orang lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:


إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩ 


Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (An-Nur: 19)


Orang mukmin perlu menjaga agar jangan sampai mengumpat dan mengaibkan orang lain hingga menjadi penyebab diseksa di akhirat dengan mencakar dada dan muka sendiri.

Jumaat, 7 Julai 2023

Jujur Dengan Upah, Jangan Khianat

 Jujur Dengan Upah, Jangan Khianat


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ اسْتَعْمَلْنَاهُ عَلَى عَمَلٍ فَرَزَقْنَاهُ رِزْقًا فَمَا أَخَذَ بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ غُلُولٌ

Daripada Abdullah bin Buraidah RA dari ayahnya, dari Nabi SAW baginda bersabda: Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " 

(HR Abu Daud, no 2943) Status: Hadis Sahih; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)


Pengajaran:

1.  Setiap orang yang dilantik sebagai pekerja dan dibayar gaji oleh majikan hasil daripada pelaksanaan kerja seperti yang dipersetujui, maka pendapatan yang diperolehi adalah bersih dan halal.

2.  Orang yang mengambil upah selain daripada yang ditetapkan oleh majikan yang bukan haknya adalah suatu pengkhianatan.

3.  Pengkhianatan itu boleh dalam pelbagai bentuk seperti wang ringgit, diskaun, komisyen, rebet, bonus, potongan, ‎peratusan, hadiah, kemudahan, jawatan, undi, kontrak, tuntutan palsu, perlepasan, penyelesaian, perlindungan dan sebagainya.

4.  Mereka yang terlibat dengan pengkhianatan ini akan dilaknat oleh Allah SWT dan RasulNya. Daging yang tumbuh dari sumber yang haram, Neraka lebih utama untuknya. Dengan rezeki pengkhianatan tersebut,  akan hilang keberkatan ‎dalam kehidupan. Hidup tidak terdorong ke arah kebajikan dan kebaikan malah terdorong ‎ke arah kemaksiatan dan kejahatan.‎

5.  Berjaga-jagalah sesuatu yang diterima berupa hadiah. Saidina Umar al-Khattab turut memperingatkan gejala hadiah ini, “Berjaga-jagalah dengan hadiah kerana ia merupakan rasuah”. Tidak hairanlah Saidina Umar menghantar pulang hadiah anak kaisar Rom kepada isteri Umar dan menegahnya menerima apa-apa hadiah lagi.

7.  Saidina Ali pernah mengingatkan: “Zaman akan datang, manusia menghalalkan rasuah dengan (nama) hadiah”.

8.  Dalam Nihayah al-Muhtaj menyebut, “Menutup pintu menerima (hadiah) secara mutlak adalah terlebih awla (terbaik), bagi menutup pintu (perselisihan)”.

Dalam kita membina Negara Malaysia yang harmoni dan Sejahtera, setiap kita khususnya pekerja dan pemimpin dapat melaksanakan tugas dengan penuh kejujuran. Jangan sesekali berlaku khianat.

Semoga bermanfaat 💐

Ahad, 2 Julai 2023

Gambaran Orang Sombong Di akhirat

 Gambaran Orang Sombong Di akhirat


عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُحْشَرُ الْمُتَكَبِّرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَمْثَالَ الذَّرِّ فِي صُوَرِ الرِّجَالِ يَغْشَاهُمْ الذُّلُّ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَيُسَاقُونَ إِلَى سِجْنٍ فِي جَهَنَّمَ يُسَمَّى بُولَسَ تَعْلُوهُمْ نَارُ الْأَنْيَارِ يُسْقَوْنَ مِنْ عُصَارَةِ أَهْلِ النَّارِ طِينَةَ الْخَبَالِ

Daripada Amru bin Syu'aib dari ayahnya dari datuknya dari nabi SAW bersabda: "Orang-orang sombong dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru, mereka diiring menuju penjara di neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas, mereka diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka yang namanya thinatul khabal."
(HR Tirmizi No: 2416) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Sombong adalah sifat Iblis yang merasa dirinya lebih mulia dan lebih baik serta merendahkan orang lain.

وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٣٤

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. (Surah al-Baqarah: 34).

2.  Orang yang sombong tidak akan masuk syurga. Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”. (HR Muslim No:51)

3.  Orang yang sombong akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru.

4.  Orang sombong akan  diiring menuju ke neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas

5.  Orang yang sombong akan  diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka (nanah) yang namanya thinatul khabal (lumpur kebinasaan).

6.  Sikap sombong merupakan satu sikap yang amat dilarang keras dalam Islam. Firman Allah SWT:


وَلَا تَمْشِ فِي الأرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَنْ تَخرِقَ الأَرْضَ وَلَنْ تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang” (Surah al-Israa’ ayat: 37)

Marilah kita bersifat RAHMAH dengan menjauhi sifat sombong. Sifat sombong itu apabila merasa dirinya lebih baik dari orang lain malah memperlekeh atau merendahkan mereka.

Semoga bermanfaat 💐