Selasa, 28 Februari 2023

Allah Yang Mencampakkan Rasa Kasih

 Allah Yang Mencampakkan Rasa Kasih

=====
1. Kisah Nabi Musa yang diselamatkan dari dibunuh oleh Firaun telah dipersembahkan di dalam al-Quran dengan ungkapan yang menarik. Allah menjelaskan bahawa Dia-lah yang mencampakkan rasa kasih ke dalam hati manusia. Firman Allah:

وَأَلْقَيْتُ عَلَيْكَ مَحَبَّةً مِّنِّي وَلِتُصْنَعَ عَلَىٰ عَيْنِ

“dan Aku telah tanamkan perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.” (Surah Taha: 39)

2. Menurut al-Imam al-Sa’di, maksud ayat ini ialah Allah menjadikan sesiapa yang melihat Nabi Musa akan jatuh rasa kasih dan suka kepadanya. Kata beliau:

فكل من رآه أحبه

“Maka sesiapa sahaja yang melihatnya (iaitu Nabi Musa) akan rasa kasih kepadanya.” (Tafsir al-Sa’di)

3. Konsep ini pernah dijelaskan oleh Baginda Nabi yang menyebutkan bahawa andai sekiranya Allah menyayangi seseorang, maka dia akan perintahkan seluruh penduduk langit menyayangi hamba tersebut. Sabda Rasulullah:

ثُمَّ يُنَادِي فِي السَّمَاءِ فَيَقُولُ : إِنَّ اللهَ يُحِبُّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ ، فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ، قَالَ ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الْأَرْضِ

“Kemudian akan diseru di langit: “Sesungguhnya Allah menyayangi seseorang tersebut, maka hendaklah kamu semua menyayanginya, lalu seluruh penduduk langit menyayanginya dan kemudian dia diterima oleh seluruh penduduk di muka bumi.” (HR Muslim)

4. Oleh yang demikian, kita hendaklah menjadi hamba Allah yang taat dan patuh kepada segala perintah dan larangannya disamping memperbanyakkan amalan sunnat. Kasih Allah kepada kita menjadikan kita dikasihi oleh makhluk yang lain.

5. Ayat ini turut mengingatkan kita tentang bagaimana Allah-lah yang mencampakkan rasa kasih ke dalam hati manusia. Oleh yang demikian, janganlah kita merasa hairan melihat orang-orang yang soleh dikasihi oleh manusia.

Semoga Allah membimbing kita.