Terlalu ramai isteri pada zaman sekarang yang sangat sibuk dan suka mengira banyaknya dosa-dosa suami, mencari kesalahan dan kesilapan ketua rumah ini tanpa sedar si isteri telah membuat dosa dan mengumpulnya. Tidak masuk syurga Allah bagi seorang isteri derhaka (Nusyuz) kepada suami.
Apakah ciri-ciri atau tanda-tanda seorang isteri derhaka kepada suami? Setiap isteri wajib mengambil tahu atau sekurang-kurangnya faham tentang hukum serta berhati-hati agar tidak termasuk antara mereka yang nusyuz yang menderhakai suaminya tanpa disedari.
Ciri-ciri Seorang Isteri Derhaka Kepada Suami :
Terkadang isteri seperti ketua rumah yang menentukan apa saja keputusan suami.
Seorang isteri yang menderhakai suaminya adalah amat dibenci oleh Allah SWT. Dosa paling besar seorang isteri adalah derhaka kepada suami. Oleh itu, berwaspadalah anda ketika menjalani kehidupan rumah tangga bersama suami.
Jika dilihat berdasarkan hukum Feqah terdapat 9 ciri-ciri atau punca isteri derhaka (Nusyuz) :
Pertama : Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya
Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dalam bidang agama.
Isteri perlu meminta izin untuk keluar rumah menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya).
Peristiwa ini pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW apabila seorang suami tidak membenarkan isterinya keluar rumah tanpa izinnya semasa beliau bermusafir. Walaupun kematian ayah wanita tersebut, Nabi SAW tidak membenarkan wanita itu keluar rumah untuk menziarahi jenazah ayahnya.
Oleh kerana ketaatan wanita ini maka Nabi SAW menjelaskan bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosa ayah wanita tersebut.
Kedua : Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak
Jika diizinkan syarak seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun.
Ketiga : Menyakiti hati suami
Isteri yang suka menyakiti hati suaminya, suka berbantah-bantah atau tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menyakiti hatinya adalah berdosa besar. Ibnu ‘Asakir pula menyebut:
“Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.”
Keempat : Tidak menyerahkan diri pada suami ketika suami hajat bersama
Ketika suami berhajat kepadanya dia enggan melayan hajat suaminya tanpa ada keuzuran seperti sakit. Setakat malas atau tak ada keinginan bukan alasan yang munasabah, ini juga antara punca isteri derhaka.
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maksudnya :
“Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelima : Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.
Keenam : Isteri membuat fitnah kepada suaminya
Isteri cuba memfitnah atau mendakwa suaminya telah mentalaknya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu. atau isteri menuduh tanpa bukti yang sahih bahawa suaminya ada perhubungan dengan wanita lain.
Ketujuh : Isteri minta cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak
Jika isteri meminta cerai kerana alasan suami berhajat berpoligami.bukanlah alasan yang syrie. Sabda Rasulallah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud :
“Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak haram baginya bau syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Kelapan : Isteri merahsiakan perhubungannya dengan lelaki lain
Isteri selalu chatting, telefon dan hantar pesanan ringkas tanpa pengetahuan suami untuk berseronok-seronok dan menceritakan aib suaminya kepada lelaki yang bukan mahramnya, jelas inilah tanda seorang isteri derhaka kepada suaminya.
Inilah antara dosa paling besar seorang isteri apabila menjalinkan hubungan terlarang.
Kesembilan: Puasa sunat tanpa keizinan suami dan memasukkan seorang lelaki tanpa izin suaminya
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud :
“Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Walaupun lelaki yang datang ke rumah isteri tersebut adalah terdiri daripada mahramnya. Tetapi jika suami tidak ada halangan di atas kehadiran mereka tidak menjadi masalah.