Pengertian Pembaziran
Ia adalah perbuatan ditegah lagi haram di sisi Tuhan.
Pembaziran adalah luas pengertiannya.
Berhati-hatilah kita di dalam hidup agar jangan terjebak dengan pembaziran.
Pembaziran bukan sekadar memakai air berlebihan ketika berwuduk,
atau mandi wajib atau mandi kebiasaan.
Itu hanya pembaziran terlalu kecil sahaja kalau dilakukan.
Banyak lagi pembaziran yang besar-besar kalau kita faham di dalam kehidupan.
Pembaziran pembelanjaan diri dan keluarga di dalam makan minum dan pakaian,
berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan tidak sepatutnya dilakukan.
Memiliki kenderaan yang berlebih-lebihan untuk diri sendiri sahaja,
bukan untuk diguna sama buat perjuangan, ia adalah dilarang.
Rumah yang besar lebih daripada yang diperlukan untuk diri dan keluarga adalah pembaziran.
Yang lebih itu adalah kepunyaan orang lain yang memerlukan
tapi disalurkan kepada kita oleh Tuhan.
Pada kita sebagai ujian, mampukah atau tidak untuk diagih-agihkan kepada yang memerlukan.
Tuhan suruh kita bercantik-cantik, lakukan, asalkan jangan berlebih-lebihan yang keterlaluan.
Kalau sudah keterlaluan hingga hilang keindahan, satu pembaziran.
Pembaziran bukan sahaja berlaku kepada harta, makan minum dan pakaian.
Ia juga berlaku kepada tenaga dan masa yang disia-siakan tanpa dimanfaatkan.
Mensia-siakan tenaga dan masa juga pembaziran.
Tenaga diguna kepada yang merosakkan bukan sahaja pembaziran bahkan memudharatkan.
Atau tenaga tidak diguna atau dibekukan, tidàk digunakan untuk membuat kerja-kerja yang berguna, ia tetap di anggap pembaziran.
Seperti tidur baring, berjalan-jalan tanpa apa-apa matlamat, duduk berborak-borak kosong membuang masa tanpa tujuan.
Sekaligus sikap ini berlaku dua pembaziran.
Pembaziran tenaga dan pembaziran masa yang sangat berharga buat insan.
Termasuk pembaziran tenaga dan masa, duduk berlepak-lepak, berfoya-foya tanpa tujuan.
Ilmu juga boleh jadi pembaziran.
Ilmu yang tidak diamalkan sekadar dimegah-megahkan.
Ilmu untuk bermujadalah dan berbalah, tidak dimanfaatkan.
Ilmu tidak diamalkan bukan sahaja pembaziran, kalau jadi mujadalah dan berbalah,
pecah pula ukhwah.
Ilmu sudah jadi bahaya, pecah perpaduan kerana salah guna.
Di sini fahamlah kita, pembaziran banyak jalan.
Bukan pada harta, wang ringgit dan kekayaan saja.
Berbagai-bagai perkara boleh jadi pembaziran yang boleh menjadi kawan syaitan.
Haraplah ambil perhatian, moga-moga kita tidak dimurka Tuhan.